Rugi! Lepas Baik Pulih RM11 JUTA, Velodrom Rakyat Diarah Roboh…!

VELODROM Rakyat Ipoh diarah roboh kerana tidak menepati spesifikasi yang dikehendaki Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) walaupun baru selesai dibaik pulih dengan dana RM11 juta, lapor Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia melaporkan mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI di Beijing, China beberapa hari lalu membuat keputusan itu selepas mendapati kontraktor pembinaan yang dilantik untuk melakukan kerja baik pulih masih gagal mematuhi status homologation.

 

Homologation ialah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawaian UCI.

Sumber dari kerajaan negeri Perak pula mengaku hal itu memberi tamparan besar kepada mereka selain terpaksa mencari venue baru acara berbasikal untuk Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan kerana tidak cukup wang bagi baik pulih dan membina velodrom baru.

 

“Kerajaan negeri amat kecewa dengan perkembangan ini kerana segala perbelanjaan yang dikeluarkan berjumlah RM11 juta hanya sia-sia. Arahan UCI untuk merobohkan Velodrom Rakyat dan mengarahkannya dibina semula suatu tamparan hebat kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sendiri, jika ada duit sekali pun untuk membinanya semula, tidak pasti sama ada (Velodrom Rakyat) sempat disiapkan sebelum berlangsungnya Sukma tahun depan.

 

“Bayangkan apabila duit hendak bina semula pun belum tentu ada lagi. Kalau keadaan bertambah buruk dan masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, kemungkinan acara lumba basikal trek terpaksa digugurkan daripada Sukma 2018,” kata sumber itu dipetik daripada Utusan.

Sumber sama turut mendedahkan, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI Aarjit Singh yang juga presiden Persatuan Berbasikal Perak dilaporkan sedang berusaha mencari jalan menyelesaikan status homologation itu termasuk bertemu Presiden UCI David Lappartient di Aigle, Switzerland pada bulan ini dalam usaha menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Ini penting kerana status homologation adalah lesen utama kepada Velodrom Rakyat untuk menjadi gelanggang sebarang kejohanan kebangsaan dan antarabangsa, selain pengesahan jika ada rekod baharu dicipta akan diiktiraf oleh UCI,” katanya.

Kerja membaik pulih Velodrom Rakyat mendapat dana berjumlah RM11 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan antara tujuannya adalah mengatasi masalah kerosakan pada struktur terutama trek kayu yang dibina pada 1984.

 

Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai. Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991 (ACC 1991). – 2 November, 2017.

 

Sumber – Utusan

Loading...